Pas Kelantan tidak pernah mencadangkan calon import atau calon luar untuk bertanding di negeri ini.

Sebaliknya, ketetapan meletakkan calon luar di Kelantan diputuskan oleh kepimpinan Pas Pusat dan Majlis Syura Ulamak.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, dari dahulu lagi Pas Kelantan hanya menamakan calon tempatan untuk bertanding sama ada di kerusi Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Orang luar ini, biasanya (Pas) Pusat yang cadangkan, bukan kita. Pas Pusat akan mencadangkan jika ada keperluan dan perkara itu akan dibincangkan dengan Pesuruhjaya Pas Negeri.

"Itu kaedah yang diambil. Kita tidak sembunyi apa-apa tentang pengambilan calon luar," kata Mohd Amar ketika ditemui selepas mesyuarat mingguan Exco Kerajaan di sini, hari ini.

Beliau turut menjelaskan, pengumuman nama calon yang akan bertanding dijangka akan dibuat Pesuruhjaya Pas Negeri, Datuk Ahmad Yakob dalam tempoh seminggu lagi.

Beliau tidak menolak kemungkinan pengumuman itu dibuat serentak dengan Pas Pusat.

Katanya, Pas juga tidak menghantar senarai nama calon kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tapisan, sebaliknya tapisan dibuat hanya melalui Majlis Syura Ulamak.

Sebelum ini, media melaporkan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkemungkinan bertanding di kerusi Parlimen Kubang Kerian pada Pilihan Raya Umum ke-14.