PAS menyifatkan keputusan beberapa pemimpin dan ahlinya meletak jawatan bagi menyertai Gerakan Harapan Baharu (GHB) sebagai satu tindakan wajar.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata, tindakan itu akan memudahkan PAS untuk mengemaskini senarai keahliannya daripada kumpulan yang ingin menyertai GHB supaya ia boleh segera mengisi kekosongan jawatan.

Menurutnya, beliau percaya, PAS tidak akan tergugat dengan kehilangan mereka kerana parti itu mempunyai ramai barisan pemimpin pelapis yang boleh diketengahkan.

"Apabila dia (ahli PAS) isytihar secara terbuka memudahkan kita. Pertama, kita boleh buat sempadan ini orang kita, ini bukan orang kita. Yang kedua, kita boleh mengisi kekosongan ini dengan muka-muka baharu yang sebenarnya ramai dalam PAS.

"Saya percaya, ia tidak akan melumpuhkan parti, sebab yang letak jawatan itu pemegang jawatan parti secara keseluruhannya kekal 10-15 orang sedangkan kita dalam satu kawasan ada beribu ahli.

"Sekarang ini kita menerima ahli baru tidak kurang empat ribu orang setiap bulan," katanya, selepas majlis pelancaran Seminar Halal dan Francais Kelantan 2015 di sini, hari ini.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, usaha memujuk mereka sudah dilakukan, namun PAS melepaskan mereka kerana terlalu bertekad untuk menyertai GHB.

Beliau mengulas mengenai pemberhentian beramai-ramai barisan kepimpinan dan ahli PAS di beberapa kawasan sejak beberapa hari lalu, termasuk di Kelana Jaya, Kota Raja, Shah Alam dan Klang.