Tutup

Pas layak digelar Maharaja Lawak - Mahfuz

Pas layak digelar Maharaja Lawak - Mahfuz
Mahfuz (enam, kanan) bergambar kenangan bersama sebahagian warga sekolah SK Hutan Kampung. -Foto Sinar Harian
ALOR SETAR: Pas layak dianugerahkan Maharaja Lawak 2018 susulan kenyataan parti itu yang tidak senada berhubung kerjasama bersama UMNO.

Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, pendirian Pas sebelum PRU14 ternyata berbeza selepas berakhirnya pilihan raya umum itu.

Menurutnya, kenyataan Pas menjengkelkan apabila mengakui kerjasama dengan Umno merupakan sebahagian pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang dipraktikkan Pas.

“Saya anggap Pas sebagai joker! Sebelum ini Pas menafikan semahu-mahunya mereka tiada kerjasama dengan Umno, kononnya penyertaan mereka dalam PRU14 sebagai bersendirian, tidak akan bersama PH mahupun BN, selain tegaskan akan lawan BN,” katanya, selepas melawat Galeri Warisan, Sekolah Kebangsaan (SK) Hutan Kampung.
Mahfuz berkata, ini membuktikan Pas melakukan penipuan terhadap pengundi yang memberi undi kepada Pas termasuk ahlinya.

“Sebelum itu, Pas dakwa daripada bekerjasama dengan BN, lebih baik mereka bubar parti, macam-macam lagi. Hari ini, ternyata kenyataan itu memakan diri Pas sendiri,” katanya.
Menurutnya, daripada maklum balas diterima, akar umbi Pas kecewa dengan kerjasama terbabit, namun Pas bijak mengatur strategi apabila hanya mengumumkan pendirian itu selepas PRU14 berakhir.

“Sebelum PRU14, Pas tak berani isytihar akan jalin kerjasama dengan UMNO, mungkin sebab bimbang ahli tinggalkan parti itu. Berbanding PRK, kesannya kurang, jika Pas menang ia bonus, jika kalah pun tak beri kesan besar,” katanya.

Mahfuz berkata, apa yang berlaku seolah telah dirancang lebih awal secara senyap.

“Saya harap apa yang berlaku akan menyedarkan ahli Pas supaya tidak lagi bersama parti itu. Amanah bersedia buka peluang kepada ahli Pas untuk bersama kami dan kerajaan PH,” katanya.

Menurutnya, pihaknya percaya pendirian terbaharu Pas itu betul-betul menggambarkan hasrat hati Pas sebelum PRU14 lagi.

“Sebelum PRU14, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan kerjasama dengan UMNO ibarat memikul biawak hidup, hari ini mereka dukung biawak hidup pula. Terbukti, pada dua PRK kali ini, Pas-Umno saling mengurat, bercinta, nikah dan beroleh anak baharu,” katanya.

Baru-baru ini, Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerjasama bersama UMNO merupakan sebahagian pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera, di mana konsep itu semakin diterima baik ahlinya.