PAS mencadangkan agar kerajaan segera menggubal Undang-Undang Anti Lompat Parti bagi memelihara integriti dan kesetiaan anggota parlimen dan anggota dewan undangan negeri (ADUN) terhadap parti masing-masing.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kerajaan juga perlu menggubal undang-undang agar tiada anggota Parlimen atau Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sewenang-wenangnya mengosongkan kerusi bagi memberi laluan mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) demi kepentingan individu tertentu.

"Kedua-dua undang-undang itu perlu digubal segera bagi memelihara kepentingan rakyat yang telah mengundi mereka pada pilihan raya yang lalu atas dasar kepercayaaan dan kesetiaan kepada parti.

"Tindakan mengosongkan kerusi yang dimenangi bagi memberi laluan kepada individu tertentu mencapai cita-cita politik mereka juga mengundang pembaziran wang rakyat dan sumber negara meskipun ia tidak melanggar amalan demokrasi di negara ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir pada Muktamar Dewan Pemuda PAS Ke 59 di sini, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata dalam keadaan kewangan negara yang agak teruk, tindakan berkenaan sebenarnya satu pembaziran wang yang sepatutnya digunakan untuk membantu rakyat.

Sementara itu, dalam sidang media berasingan, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang turut hadir memenuhi undangan pada majlis perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS itu menafikan konon partinya hanya mengadakan kerjasama dengan PAS setelah kehilangan kuasa pada Pilihan raya Umum ke 14 yang lalu.

Beliau berkata UMNO sudah memulakan langkah bekerjasama dengan PAS dalam banyak isu berkepentingan membabitkan umat Islam sejak tiga tahun kebelakangan ini.

"Dalam isu umat Islam di Rohingya, kita bersama dalam satu pentas, begitu juga dengan isu umat Islam di Palestin, kita satu pentas malah banyak lagi kerjasama seperti forum dan program lain sebelum ini.

"Cuma kita mungkin tak pernah bersama dalam perhimpunan parti seperti ini...dan saya rasa tak ada salahnya, esok belum kiamat (untuk) kita mulakan persahabatan dan persaudaraan atas dasar Islam itu...ia bermula dengan titik pertemuan hari ini," katanya.

Beliau juga menegaskan dalam konteks kerjasama itu, bukanlah soal politik yang harus diutamakan tetapi persaudaraan atas dasar Islam dan kepentingan rakyat keseluruhannya.

"Jangan ada sebarang salah tanggapan seolah-olah bila dua parti terbesar yang mewakili Melayu Islam mula berbaik, ia beri isyarat seolah-olah akan menzalimi dan mendominasi agama dan bangsa lain.

"Itu tidak akan berlaku kerana kita hormatinya dan asasnya ialah untuk mengukuhkan tunjang dan akar negara iaitu Islam agama rasmi dan Melayu Bumiputera adalah bangsa teras," katanya.

-- BERNAMA