Pas menafikan khabar angin mengenai tiga pimpinan parti itu di Terengganu yang didakwa menerima sogokan dari Umno untuk melawan Pakatan Harapan (Harapan) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Azman Ibrahim berkata, secara peribadi beliau kenal rapat dengan tiga pemimpin yang dimaksudkan, malah dakwaan menerima wang untuk melawan Harapan di negeri ini tidak masuk akal.

"Pas Terengganu telah sekian lama menafikan kewujudan parti itu (Harapan) di negeri ini. Baik PKR, Amanah, Bersatu dan DAP tak ada satu pun cawangan yang hidup dan aktif di Terengganu. Nak lawan buat apa?

"Bersatu memang diakui sendiri oleh Pengerusi Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad, tak ada cawangan di sini.

"Amanah pula tak usah jadi kereta Kancil ekzos besar. PKR pula, tolong senaraikan nama cawangan yang hidup dan aktif di Terengganu,” katanya.

Azman berkata demikian bagi mengulas dakwaan ahli Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Mahfuz Omar yang mendakwa terdapat tiga pemimpin Pas Terengganu menerima wang daripada UMNO ketika berucap pada program di Guar Lobar, Padang Serai, Kedah, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan itu, Azman berkata, pada PRU kali ini, UMNO adalah lawan sebenar Pas yang mana akan ditentang habis-habisan, bukan sebagaimana didakwa.

"Dalam PRU14, lawan kita ialah UMNO. UMNO pula dah habis segala strategi untuk lawan Pas, termasuklah persempadanan baru kawasan pilihan raya.

"Tiba-tiba ada yang kata pemimpin UMNO bagi duit kepada pimpinan Pas. Budak sekolah rendah pun boleh faham," ujarnya.

Dalam pada itu, Azman berkata, Pas tidak ‘kemaruk’ duit walaupun parti itu sering dilabel sebagai parti miskin.

“Pas bukan parti miskin. Cuma orang Pas tak berlagak. Pernah dalam masa beberapa hari saja, Pas Terengganu boleh kumpul lebih RM500,000 untuk disumbangkan kepada Rohingya. Buat makan malam, ratusan ribu dihulurkan oleh ahli dan penyokong Pas.

“Himpunan Fastaqim di Tok Jembal pula, lebih RM700,000 disumbangkan dari pelbagai sumber, tapi bukan dari UMNO. Sekarang bendera Pas ‘menghijau’ di segenap pelosok negara, semuanya dari dana orang Pas sendiri,” katanya.

Selain itu, katanya, markas Pas pula bernilai ratusan ribu setiap satu yang wujud di setiap cawangan.

“Di Dewan Undangan Negeri (Dun) Jabi sahaja ada 23 cawangan. Belum kira lagi tempat lain. Kalau campur semua nilainya jutaan ringgit. Banyak lagi kalau kita nak senaraikan.

“Jangan hina sangat, mentang-mentang kita tok lebai kilas kain pelekat,” katanya.