PAS sentiasa bersedia membentuk kerjasama dengan mana-mana parti politik termasuk parti politik baharu yang bakal diasaskan oleh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan kesediaan parti Islam itu untuk bekerjasama bagaimana pun bersyarat.

"PAS mengambil pendekatan bekerjasama dengan semua pihak.

"Dengan syarat, jangan sentuh dasar dan matlamat PAS kalau pihak tersebut tidak terima PAS dengan dasar dia," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri PAS di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini hari ini.

Tambahnya, setakat ini blok ketiga yang diwujudkan oleh PAS telah membentuk kerjasama dengan sebuah parti politik serta lebih 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Dua hari lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan pihaknya sedang menyelaras penubuhan parti baharu seperti yang diumumkan sebelum ini.

Tambah Dr Mahathir, pihaknya tidak menolak kemungkinan bahawa pendaftaran parti baharu itu bakal berdepan kekangan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).