Parti Islam Semalaysia (Pas) sedia menjadi rakan dialog Kerajaan Persekutuan melalui konsep taawun siyasi.

Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man menerusi kenyataannya pada Ahad menekankan kerjasama itu sejajar dengan konsep federalisme, iaitu demi hubungan baik antara kerajaan pusat dan negeri.

“Selaras dengan Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang menjadi pendekatan Pas kini, parti itu akan menyokong dasar kerajaan yang mendorong ke arah kebaikan dan ketaqwaan kepada Allah.

“Manakala di sudut yang lain, Pas sedia menjadi pembangkang yang konstruktif dan berkesan ke arah kesejahteraan dan pembangunan negara.

“Pendekatan politik semak dan imbang ini akan membantu kerajaan dalam melaksanakan pembangunan negara yang cemerlang.

“Pas dengan dasar Islam yang dibawa akan memperkasakan suasana harmoni antara kaum, memperkasakan jati diri rakyat Malaysia khasnya dalam kalangan umat Islam,” katanya.

Pas turut mengharapkan semua parti politik bergerak ke hadapan bagi menjamin segala janji dan manifesto kerajaan dilaksanakan.

Malah, budaya politik konflik, fitnah dan bertembung perlu ditinggalkan dan ian hanya melahirkan sikap 'bosan dan menyampah' di kalangan rakyat.

Tuan Ibrahim pada masa sama mahu Pas berperanan sebagai rakan dialog dan juga pembangkang yang berkesan dalam membawa situasi menang-menang untuk rakyat dan kerajaan Persekutuan yang ditunjangi oleh Pakatan Harapan.