PAS menyatakan sokongan penuh terhadap usaha kerajaan untuk mewujudkan Akta Pembiayaan Politik bagi menghalang unsur rasuah dan kepentingan peribadi penderma mendorong keputusan parti pemerintah.

Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata sebelum ini PAS bersama beberapa parti politik lain seperti Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) telah menghantar memorandum kepada kerajaan sebelum ini (Barisan Nasional) berserta beberapa cadangan untuk mewujudkan akta itu.

"Saya nak tegaskan bahawa PAS sentiasa konsisten memperjuangkan supaya diwujudkan satu undang-undang khusus mengenai perkara ini dan kita dah hantar memorandum bersama parti politik yang lain.

"Namun disebabkan berlaku Pilihan Raya Umum ke-14 baru-baru ini dan pertukaran kerajaan, kita belum berpeluang membawa perkara ini kepada pentadbiran baharu.

"Namun kita memandang positif perkara itu dan harap ia akan diperincikan dan dijadikan suatu akta yang perlu diikuti oleh semua parti," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Amal Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail, di Dewan Arena Square, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS turut mengulas mengenai cadangan kerajaan Pakatan Harapan untuk mengehadkan tempoh pentadbiran perdana menteri, menteri besar dan ketua menteri selama dua penggal yang disifatkan mempunyai asas dan perlu dilihat daripada sudut positif.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu memerlukan kajian dan penelitian yang mendalam bagi memastikan pelaksanaannya benar-benar memberi impak positif selaras dengan matlamat utama untuk mengelak daripada wujudnya unsur rasuah.

"Ada baiknya juga cadangan ini kerana apabila terlalu lama tentulah wujud ruang-ruang dan kemungkinan perkara tidak sesuai seperti ketiadaan penjanaan idea baharu dan segar bagi generasi baharu.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengulas mengenai cadangan menurunkan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun yang dianggap bukan permasalahan utama.

Sebaliknya beliau meminta kerajaan memfokus kepada isu lebih besar iaitu usaha mendaftarkan lebih ramai pengundi daripada golongan muda kerana data menunjukkan masih ramai yang tidak berbuat demikian.

-- BERNAMA