Pas telah memuktamadkan senarai calonnya yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.

Senarai calon berkenaan katanya, akan diumumkan serentak bermula malam esok kecuali Kelantan yang akan diumumkan pada 25 April.

Manakala senarai calon di Sarawak akan diumumkan pada 21 April manakala Sabah pada 22 April ini.

“Sekejap tadi saya telah memanggil semua setiausaha-setiausaha perhubungan negeri-negeri seluruh Malaysia. Cuma setiausaha Sarawak sahaja tidak dapat hadir.

“Mesyuarat Jabatan Setiausaha Pas (tadi) adalah untuk Pas menyerahkan (kepada) negeri-negeri senarai calon-calon Pas dan Gagasan Sejahtera yang diputuskan dan akan diumumkan di seluruh negara secara serentak malam esok oleh Pesuruhjaya Pas negeri masing-masing. Cuma di Pahang, calon akan diumumkan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man akan berada di Pahang untuk umum calon,” katanya.

Selain itu tambah beliau, Pas akan bertanding sekurang-kurangnya 160 kerusi parlimen.

“Daripada 222 parlimen, Pas akan tanding tidak kurang 160 kerusi. Ia termasuk calon Pas, calon Gagasan Sejahtera dan parti Rakan Gagasan Malaysia. Parti Generasi Baru juga bersama kita nanti dan ada lagi satu dua parti lagi berhasrat bersama kita tetapi kita tidak boleh dedah lagi,” tambahnya.

Sementara itu, calon bertanding akan turut disyaratkan melakukan Baiah.

“Pas menyediakan Baiah atau akuan sumpah pada semua calon Pas yang akan tanding. Mereka akan melafaz ikrar di hadapan pesuruhjaya masing-masing.

"Lafaz baiah terbahagi kepada calon ahli Pas, calon bukan Islam tapi ahli Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP), dan untuk Gagasan Sejahtera ada Islam dan bukan islam. Baiah ini akan dibuat secara bertulis iaitu angkat sumpah dan tandatangan," ujarnya.

Melalui Baiah berkenaan, menurutnya Pas boleh atau tidak mengambil tindakan termasuk mendesak letak jawatan jika ada mana-mana calon melanggar Baiah.

"Begitu juga dengan bukan Islam. Integritinya akan dipersoalkan kalau langgar akujanji atau baiah," tambahnya.