Pas akan terus menjalinkan kerjasama politik melibatkan pilihan raya dengan UMNO sehingga ke Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kerjasama politik yang sudah wujud ini diteruskan selepas kejayaan pembangkang, Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands dengan pencapaian yang baik.

Beliau menjelaskan, Pas tidak bertanding pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, bagi mewujudkan solidariti pembangkang dalam DUN Selangor.

Sokongan kepada parti pembangkang yang bakal bertanding di DUN Semenyih itu juga bagi menguatkan kedudukan pembangkang di Selangor.

“Insya-Allah, kita jangka sampai PRU15 kerana suasana yang ada sekrang ini menuntut kita buat perubahan yang dikehendaki oleh rakyat.

“Itu harapan kitalah. Ada sasaran untuk capai kemenangan dan kita dah usaha dan buat (secara) strategik. Tak mustahil Pas bersama parti pembangkang lain tubuh kerajaan di Malaysia.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui di Kota Bharu, Takiyuddin berkata hubungan Pas-UMNO melalui konsep taawun berjalan lancar dan baik setakat ini.

Katanya, sekiranya kemenangan berpihak kepada UMNO pada PRK DUN Semenyih kelak, ia merupakan pencapaian yang lebih besar berbanding Cameron Highlands kerana kerusi berkenaan disandang oleh wakil rakyat dari Pakatan Harapan sebelum ini.