Pas tiada masalah sekiranya Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu mendedahkan identiti sebenar pemimpin parti itu yang dikatakan menerima wang daripada UMNO.

Dalam masa yang sama, menurut Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, parti itu mempunyai maklumat mengenai pemimpin parti kerajaan yang didakwanya menerima bantuan dari luar negara.

Katanya, pihaknya menunggu pendedahan yang akan dibuat Ahli Parlimen Port Dickson itu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara tersebut.

“Terpulang pada dia (Anwar). Nanti dia dedahkan dululah siapa pemimpin itu, barulah kita buat kenyataan.

“Kita pun ada kenyataan pemimpin lain ada menerima bantuan daripada luar negara dalam jumlah yang sangat besar. Itu lagi haram.

“Kita (didakwa terima duit) tak ada bukti. Kita bergerak sendiri. Barangkali kalau dihimpunkan derma-derma Pas pada setiap ceramah sepanjang tahun, lebih daripada RM90 juta kita boleh buat. Beribu!” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas Perak Kali Ke-36 di Felda Residence Hot Spring, di sini, hari ini.

Abdul Hadi berkata, Pas juga mahu kerajaan berani mendedahkan bantuan luar negara yang mereka perolehi, yang dikatakan sangat banyak.

“Kita minta dia (beritahu), daripada mana dia dapat duit selama ini, yang diwar-warkan dapat daripada luar negara.

“Dia kena berani, jangan kerajaan siasat kita saja, kerajaan perlu siasat diri dia sendiri, barulah adil,” ujarnya.

Anwar dalam satu forum di sebuah institusi pendidikan tinggi di Nilai, Negeri Sembilan pada Sabtu berkata, identiti pemimpin Pas yang didakwa menerima wang daripada UMNO akan didedahkan sedikit masa lagi.