PAS tidak akan menyertai Pakatan Harapan dan keputusan itu muktamad, kata Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau yang ditemui Astro AWANI di sini hari ini turut berkata, PAS belum memuktamadkan agenda perbincangan dan post mortem selepas keputusan pilihan raya kecil (PRK) di Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

“Dalam mesyuarat bulanan, kita bincang isu semasa. Itu belum agenda, tapi mungkin benda (perkara) ini akan timbul,” ujarnya.

Berkenaan kedudukan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang secara terang-terangan menyokong calon parti Amanah Negara (Amanah) di dua pilihan raya berkenaan, Mohd Amar mengulas ringkas: “Ya, kita tahu itu (sokongan PKR kepada Amanah). Kita tengok, kita bukan tidur".

Mohd Amar menjelaskan, Amanah sekali lagi mempelawa PAS menyertai Pakatan Harapan selepas dua PRK berkenaan, namun ia tidak menarik minat PAS sebaliknya meminta supaya Amanah melihat undi Melayu yang diperolehinya di pusat daerah mengundi.

Beliau berpendapat, Amanah gagal menjadi pengganti parti PAS, kerana undi yang diterima adalah atas pengaruh DAP dan PKR, termasuk kebanyakannya daripada pengundi Cina.

Terdahulu, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengajak semua parti pembangkang untuk kembali berunding bagi menyusun strategi dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau juga tidak mahu menyalahkan sesiapa susulan keputusan yang diperoleh dalam PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar baru-baru ini.

"Saya harap keputusan ini dapat beri pengajaran buat semua parti politik untuk tidak menyalahi mana-mana pihak. Jangan salahkan rakyat dan pengundi, tapi ambil sikap bincang semula bagi kepentingan negara dan rakyat keseluruhannya,” ujarnya.