Pas sedia memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN) bagi meletakkan calonnya dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata keputusan itu dibuat menerusi persefahaman awal yang dicapai parti itu.

"Kita lebih suka kalau bertanding satu lawan satu dan calonnya pun kita akan tengok. Ini kerana kita nak bagi laluan kepada UMNO.

"Kalau calon UMNO berkemungkinan bertanding, kita bagi sokongan seperti mana juga dia bagi sokongan kepada Pas di PRK Seri Setia lalu. Untuk itu, Pas tidak akan bertanding," katanya.

Beliau berkata demikian selepas perasmian Dewan Ulamak Pas Pusat Kali ke 57 di Kuala Terengganu pada Khamis.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Nik Mohamad Zawawi Salleh berkata, parti itu juga bersedia membantu UMNO untuk bekrempen pada PRK Port Dickson.

"Sebagai pembangkang kita akan bekerjasama dengan parti-parti lain dalam pembangkang.

"Ini bagi memastikan kita membentuk satu kekuatan semua parti pembangkang bergabung termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Dalam erti kata yang lain, mana-mana kawasan yang berlaku pilihanraya hanya satu wakil sahaja yang akan bertanding mewakili pembangkang," katanya.

PRK Parlimen Port Dickson diadakan selepas penyandang kerusi kawasan itu Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68 tahun mengosongkan kerusi bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding sekali gus menyertai Dewan Rakyat dan menjadi Perdana Menteri ke-8.