Penghijrahan bekas ahli Pas menyertai UMNO tidak sama sekali meninggalkan `kudis' kepada parti itu sebaliknya menyifatkan perkara itu (berhijrah) dilakukan oleh bekas ahli yang bermasalah.

Setiausaha Badan Perhubungan Pas negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, penghijrahan bekas ahli Pas seperti yang dilaporkan di Kampung Paloh, Tendong Jumaat lalu tidak menjejaskan parti tersebut di Kelantan kerana hanya melibatkan jumlah kecil.

Malah, menurutnya, berita penghijrahan ahli Pas menyertai UMNO merupakan cerita yang bakal timbul menjelang pilihan raya.

"Berita ahli Pas berhijrah menyertai UMNO akan timbul menjelang pilihanraya dan perkara itu (penghijrahan) berlaku tetapi bukan dalam skala besar," katanya kepada pemberi di Majlis Perasmian Penutup Forum Petani dan Usahawan bersama Rakan Industri serta penyerahan jentera kecil di Pusat Pertanian Lundang di sini hari ini.

Dalam pada itu, Che Abdullah memberitahu, Pas sudah mempunyai nama calon yang akan ditampilkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Beliau menjelaskan calon yang disenaraikan itu hanya melibatkan ahli Pas sahaja kerana setakat ini belum ada nama calon dari parti yang akan bekerjasama dengan Pas.

"Pas Kelantan hanya menyenaraikan calonnya di Kelantan kerana belum ada keputusan dari Pimpinan Pas Pusat mengenai calon dari parti lain setelah terbatal kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR)," katanya.