Pas tidak pernah menjadi punca kepada tragedi Memali, tegas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat , Kamaruzaman Mohamad.

Sebaliknya, beliau yang juga Jurucakap Gagasan Sejahtera menegaskan, insiden berkenaan didakwa disebabkan tindakan agresif pihak keselamatan terhadap orang kampung yang tidak bersenjata.

"Maka, Pas konsisten sejak dari dulu untuk meminta sebuah siasatan diraja supaya satu siasatan yang telus dapat dilakukan dan mereka yang bersalah dan terlibat sehingga berlaku tragedi yang memilukan ini diambil tindakan yang sewajarnya," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

BACA: Hadi Awang tempelak Tun Mahathir isu 'mati katak' Memali

Tambahnya, Pas memandang berat isu Memali yang dikatakan dibangkitkan semula oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Pas menerima permohonan maaf Tun Dr Mahathir yang menyifatkan kematian syuhada Memali sebagai 'mati katak'. kenyataan ini telah menimbulkan kemarahan waris mangsa dan rakyat Malaysia," katanya lagi.

Beliau juga menyifatkan Pas sudah biasa dengan tuduhan yang dibangkitkan sesetengah pihak bahawa amanat Hadi menjadi punca kepada Tragedi Memali.

BACA: Tun Mahathir mohon maaf isu 'mati katak' Memali

Tun Dr Mahathir sebelum ini memohon maaf susulan keterlanjuran katanya apabila membuat kenyataan bahawa mangsa tragedi Memali sebagai 'mati katak'.

Susulan itu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerima permohonan maaf berkenaan selepas menyedari kesilapannya membuat kenyataan seumpama itu.


Dalam pada itu mengenai tindakan anak bekas Mursyidul Am Pas, Nik Omar Nik Aziz yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) atas tiket PKR, beliau menjelaskan, Pas menghormati hak demokrasi yang Nik Omar untuk bersama Pakatan Harapan.

"Pas menghormati pendirian politik Nik Omar," ujarnya.