Pas mengumumkan 14 calon Parlimen dan 40 calon Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi negeri Pahang menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.

Pesuruhjaya Pas Pahang Rosli Jabar yang juga mantan adun Tanjung Lumpur membuat pengumuman tersebut di Padang Awam Cenderawasih, Kuantan, malam ini.

Pencalonan kali ini adalah yang terbanyak buat Pas di negeri Pahang berbanding pilihan raya lalu disamping menampilkan dua calon dari Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP).

Pengerusi DHPP Datuk N. Balasubramanian dicalonkan untuk parlimen Bentong sementara bekas Setiausaha Agung MIC Kumar Silambaram dicalonkan untuk kerusi dun Tanah Rata.

Rosli dan Timbalan Pesuruhjaya Pas yang masing-masing adalah mantan kerusi negeri Tanjung Lumpur dan Beserah akan mempertahankan kerusi mereka.

Kali ini Pas menampilkan dua calon wanita untuk kerusi negeri Prof Madya Wan Maseri Wan Mohd untuk dun Inderapura dan Azizah Mohd Ali untuk dun Teruntum.

Buat pertama kalinya, Pas bakal meletakkan calon di semua kerusi DUN dan Parlimen Bentong berbanding hanya satu pada PRU13.

Mohd Zamri Nong dicalonkan untuk Bilut, Roslan Md Esa Di Ketari, Mohd Khairuddin Abdullah di Sabai, dan calon yang bakal berentap dengan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob adalah Zaharim Osman di Pelangai.

Bagi kerusi parlimen pula, Ketua Penerangan Pas Pusat Nasaruddin Hassan bakal bertanding di Indera Mahkota dan kerusi Temerloh pula bakal ditandingi Jusoh Darus.

Kerusi parlimen Cameron Highlands pula melihat pencalonan Wan Mahadir Wan Majlis, Sobirin Duli di Lipis, Mohamed Nilam Abdul Manap di Raub, Yohanis Ahmad di Jerantut, Sulaiman Mat Derus di Kuantan, Mohd Azhar Mohd Noor di Paya Besar, Ahiatudin Daud di Pekan, Hasenan Haron di Maran, Kamal Ashaari di Kuala Krau, Musaniff Rahman di Bera dan M Shahrul Nizam di Rompin.

Timbalan Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man turut hadir ke majlis tersebut bagi menyampaikan amanat Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dalam ucapannya, Tuan Ibrahim menyelar tindakan sesetengah pihak yang hanya menjalinkan hubungan dengan Pas bagi mengambil kesempatan.

Beliau menyifatkan perbuatan itu seperti, ”Membawa Pas ke bilik hotel bagi tujuan menyeberangi jambatan”.

Tambahnya Pas mengucapkan ”Selamat Tinggal” buat mereka yang mempermainkan ’baiah’ atau perjanjian bersama Pas.

”Jangan memberatkan bahtera kami dan mempergunakan jentera kami,” katanya.