Pas yakin menang jika berlaku PRN di Kedah

Pas yakin menang jika berlaku PRN di Kedah
Tuan Ibrahim berkata konsep Kerajaan Perpaduan yang ditawarkan Pas telah banyak diamalkan di negara-negara lain yang turut mengamalkan demokrasi. - Gambar hiasan
KOTA BHARU: PAS yakin boleh menawan Kedah jika Pilihan Raya Negeri (PRN) benar-benar diadakan, kata Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tuan Ibrahim berkata bagaimanapun parti itu berharap agar jalan penyelesaian lain dapat dicapai sekiranya kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH) gagal mendapat sokongan untuk melantik Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN).

"PAS menawarkan jalan keluar iaitu mewujudkan Kerajaan Perpaduan yang bertujuan untuk mengelak PRN daripada berlaku.

"Ini adalah jalan keluar yang terbaik jika menghadapi situasi sebegini. Tapi mereka (Pakatan Harapan) menolak," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat Pas Negeri Kelantan Kali Ke-45 Tahun 2018 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) di sini, hari ini.

Beliau berkata konsep Kerajaan Perpaduan ini telah banyak diamalkan di negara-negara lain yang turut mengamalkan demokrasi.

Katanya langkah itu boleh diambil bagi mengelakkan pembaziran wang jika PRN diadakan terutama selepas berlakunya pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bulan lepas.

Selepas sebulan PRU14 berlangsung, Kerajaan Kedah pimpinan PH masih belum mengumumkan Speaker DUN kerana hanya berjaya membentuk kerajaan minoriti di negeri tersebut.

Ia selepas PH mendapat 18 kerusi DUN manakala Pas menguasai 15 kerusi dan Barisan Nasional (BN), tiga kerusi.

Keadaan itu mewujudkan keadaan yang seimbang antara kerajaan dan pembangkang kerana DUN Kedah mempunyai kerusi yang genap.

-- BERNAMA