Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengajak PAS kembali bersama DAP dan PKR sebagai satu pasukan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Katanya, semua parti pembangkang perlu bermuhasabah diri atas kekalahan teruk di Pilihan Raya Sarawak ke-11, semalam.

Dalam kenyataannya, beliau turut mengajak Parti Amanah Negara (Amanah) dan PAS supaya bersama sebagai satu pasukan dengan PKR dan DAP bagi menghadapi PRU-14 nanti.

"Justeru, Amanah dan PAS haruslah terus mara bersama PKR dan DAP. Kita perlu bergerak ke hadapan secara bersama bagi menghadapi PRU-14 sebagai satu pasukan," katanya di sini.

Jelasnya, pencapaian parti pembangkang mungkin lebih baik sekiranya kesemua parti bersatu hati.

"Pencapaian kita mungkin lebih baik jika sejak awal lagi kita bersatu hati dan bekerjasama seperti kelaziman kita.
"Kita harus akur yang rakan-rakan sekutu kita akan terus berbeza pendapat dalam isu tertentu pada masa hadapan namun keyakinan yang didorong semangat kebersamaan selama ini akan terus membantu kita melangkaui perbezaan ini," katanya.

Sebelum ini, PAS telah memutuskan untuk tidak lagi bersama dengan pakatan pembangkang.

Beberapa bekas pemimpin kanan PAS turut menubuhkan parti serpihan, Amanah dan bekerjasama dengan DAP dan PKR.

Selain itu, PAS telah menubuhkan satu lagi pakatan pembangkang bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN).

Keputusan pilihan raya Sarawak ke-11 menyaksikan DAP yang sebelum ini menguasai 12 kerusi hanya menang di tujuh kerusi daripada 31 kerusi yang ditandinginya.

Selain itu, PKR hanya menang tiga daripada 41 kerusi yang ditandingi manakala PAS dan Amanah tewas di semua kerusi masing-masing.