Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Abang Johari Tun Openg berkata kedudukan parti itu dalam Barisan Nasional (BN) akan ditentukan selepas konsultasi bersama tiga lagi parti komponen BN Sarawak iaitu SUPP, PRS dan PDP.

Abang Johari yang juga Ketua Menteri Sarawak turut memberi bayangan untuk membentuk 'gabungan parti-parti Sarawak' bagi menjaga kepentingan rakyat Sarawak.

"Ya saya tidak sebut tentang BN tetapi saya ada sebut tentang 'united coalition of Sarawak-based parties' (gabungan parti-parti Sarawak) sebagai platform kami dan saya perlu berunding dengan rakan-rakan kami di Sarawak.

"Keluar BN? Terserah kepada anda untuk mentafsirnya tetapi saya perlu rundingi parti komponen yang lain dalam BN, dengan kata lain kami (PBB) akan kaji semula kedudukan kami selepas konsultasi dengan parti komponen yang lain," katanya.

Pengerusi BN Sarawak itu berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis KerjaTertinggi (MKT) PBB selama hampir tiga jam di sini, hari ini.