Parti Cinta Sabah (PCS), satu-satunya parti tempatan yang bertanding di kesemua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), berazam melakukan kejutan meskipun menampilkan calon muda dengan jaminan tidak akan melompat parti selepas pilihan raya negeri.

PCS diketuai bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman yang bertanding di kerusi DUN Bongawan, mengetengahkan ideologi memperjuangkan hak rakyat Sabah dengan bermodalkan 90 peratus calon berusia lingkungan 40 tahun.

Semasa ditemui Bernama sewaktu berehat di sebuah kedai usang di kawasan ulu Bongawan, kira-kira 11 kilometer dari pekan Bongawan sebelum berkempen, Anifah kelihatan tenang menjawab panggilan dan membalas mesej yang rata-ratanya daripada calon dan jentera parti dalam mendapatkan maklum balas terkini berkaitan perjalanan kempen.

"Bukan calon katak. Mereka ialah gandingan antara golongan profesional, berpengalaman dan muda tetapi berbakat selain boleh dilatih untuk berkhidmat kepada rakyat. Semua calon gigih berkempen. Walaupun terdiri daripada calon baharu, tapi semangat juang tinggi.

"Mereka tawar diri, minta peluang jadi calon dan tidak mahu tunggu esok bagi berjuang, kerana itu kami dapat 73 kerusi. Saya jelaskan politik agak beza, bukan permainan, kena serius, ini demi negeri dan tanah air.

"Fizikal dan mental kena kuat. Alhamdulillah sambutan agak baik, walaupun mereka baharu tapi mereka cepat belajar," katanya ketika menjelaskan status dan pemilihan calon memandangkan mereka tidak dikenali namun pantas mendapat tempat di hati pengundi.

Jelas Anifah, calon-calon parti lebih gemar untuk berdialog daripada berceramah kosong menawarkan seribu satu harapan palsu berbanding misi parti yang menekankan perjuangan ke arah peningkatan aspek pendidikan, kemahiran, pembangunan infrastruktur dan kebajikan wanita serta belia selain kedaulatan Sabah dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Anifah, yang berkelulusan Undang-Undang, Ekonomi dan Filosopi dari Universitiy Buckingham, United Kingdom itu berkata PCS menawarkan peluang baharu kepada rakyat Sabah untuk mengubah nasib mereka berbanding tawaran parti dominan dan terkenal yang menjadi buah mulut ketika ini.

"Kita baru sebulan setengah wujudkan parti (Anifah mengambil alih parti). Kita berdepan dengan kerajaan negeri dan pusat malah ramai tidak begitu serius dengan kita pada mulanya, kerana usia parti kita, namun kini sokongan semakin meningkat.

"Kita boleh tawarkan masa depan. Untuk ketika ini tiada, kerana kita bukan kerajaan, tapi kita tawarkan hari esok, yang penting demi rakyat Sabah," katanya yang akan berdepan pertandingan empat penjuru termasuk penyandang kerusi DUN Bongawan Dr Daud Yusof daripada Warisan selain Ag Syairin daripada Barisan Nasional (BN) dan Mohd Azree Abd Ghani daripada LDP.

Sementara itu, penganalisis politik Sabah Dr Syahruddin Awg Ahmad berkata pengundi boleh menilai kemampuan PCS yang dilihat serius memperjuangkan misi namun memerlukan kerjasama pusat untuk menjayakannya.

Tegasnya, sekiranya tiada apa yang unik dan boleh ditaruhkan sebagai jaminan untuk PCS berpotensi membuat kelainan berbanding Warisan, maka pengundi boleh membuat pilihan yang lain sewaktu memangkah.

Pensyarah Kanan di Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan Universiti Malaysia Sabah itu berkata walaupun PCS gagal mendapatkan sebarang kerusi apabila bertanding di 18 kerusi DUN dan lapan kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, situasi perang politik kini sudah berubah sepenuhnya.

"Kali ini agak berbeza kerana sentimen negeri-persekutuan, pendatang tanpa izin, tuntutan Filipina, COVID-19 dan paling penting persaingan parti-parti tempatan amat sengit," katanya yang percaya rakyat Sabah mengikut komposisi ideologi masing-masing, mempunyai kemahuan dan permintaan berbeza ke atas kerajaan yang terbentuk daripada PRN ini.

Ini termasuk menjalin kerjasama persekutuan dengan negeri secara seimbang, ada pula yang mahu negeri lebih dominan dan boleh menuntut hak negeri Sabah secara praktikal, ada pula pengundi dan akar umbi yang mahukan kerjasama negeri Sabah dan kerajaan pusat ditentukan oleh satu mekanisme khusus seperti majlis atau institut yang boleh merangka pelan kerjasama dan tuntutan yang bersifat menang-menang.

"PCS menggunakan pendekatan ketiga ini yang bagi saya memang bersifat sederhana dan boleh diterima kebanyakan rakyat Sabah malah sejajar juga dengan teras dari Gabungan Rakyat Sabah yang diperakukan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

"Justeru, PCS berupaya merampas beberapa kerusi kalau pun tidak semua kerusi yang ditandingi oleh penyandang dan memenangi kerusi yang ditandingi oleh muka-muka baharu. Malah, PCS boleh membuat kejutan dengan kemenangan di beberapa kerusi DUN ditandingi secara bertembung sesama Parti Bersatu Sabah, Perikatan Nasional serta Barisan Nasional berikutan faktor pecah undi.

"PCS juga dilihat mampu membuat kejutan di kerusi-kerusi DUN di mana pengundi beralih arah daripada Warisan Plus kepada parti lain atas sebab isu-isu lokal dan faktor kerajaan Warisan adalah kerajaan pembangkang (peringkat persekutuan)," jelasnya dengan penuh panjang lebar berkaitan peluang PCS.

Sebanyak 1.12 juta rakyat Sabah layak memilih pada pilihan raya Sabtu ini.

-- BERNAMA