Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menubuhkan satu pasukan khas bagi memantau dan memastikan kempen sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) N23 Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini berjalan dengan lancar dan selamat.

Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan, anggota polis akan memantau sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) oleh mana-mana pihak sepanjang pilihan raya kecil itu.

"Kita menasihatkan agar calon memaklumkan penyokong dan jentera pilihan raya untuk mematuhi kaedah berkempen terutamanya ketika kita memerangi pandemik COVID-19.




"Untuk makluman, selain pemantau pasukan COVID-19, PDRM kontinjen Pahang dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan telah menubuhkan pasukan pemantau PRK DUN Chini bagi memantau kaedah berkempen.

BACA: PRK Chini: Calon BN, dua calon bebas serah borang

"Selepas jam 12 tengah malam, kita akan mengambil tindakan bawah Akta SPR bagi sesiapa yang melanggar SOP Covid-19, kita boleh mengambil tindakan serampang dua mata," katanya dalam sidang media di pusat penamaan calon di Dewan Utama Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Pekan pada Sabtu.

BACA: SPRM lancar bilik gerakan PRK DUN Chini

Sehingga kini, polis tidak menerima sebarang laporan atau membuka kertas siasatan berkaitan PRK yang akan berlangsung pada Julai.

PRK Chini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) dan dua calon Bebas.

Ia melibatkan pertandingan antara Mohd Sharim Md Zain, 41 tahun, yang mewakili BN, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64 tahun dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49 tahun.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60 tahun, pada 6 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung. Abu Bakar menjadi wakil rakyat kawasan itu sejak Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU11).

Pada PRU-14 lalu, Allahyarham mengekalkan kemenangan dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang mendapat 5,405 undi manakala Mohamad Razali Ithnain dari PKR sekadar memperoleh 1,065 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Chini pada 4 Julai dengan hari penamaan calon pada 20 Jun ini, manakala hari pengundian awal pada 30 Jun.