Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas perlu memberi nasihat yang betul kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan bagi menentukan Perdana Menteri.

Pengerusi Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan, Tan Sri Rais Yatim berkata, hal itu kerana kuasa melantik Perdana Menteri terletak pada tangan Seri Paduka.

"Kuasa melantik Perdana Menteri di tangan Yang di-Pertuan Agong bukan di Dewan Rakyat.

"Peguam Negara tolonglah beri nasihat betul kepada Yang di-Pertuan Agong," tulis beliau di akaun Twitter miliknya pada Jumaat.


Tambah Rais yang diumumkan sebagai Ketua Bersatu Bahagian Jelebu bagi sesi tahun ini, sepatutnya Yang di-Pertuan Agong telah membuat keputusan selepas mengadakan 'personal interview' dengan semua Ahli Parlimen pada Selasa dan Rabu.

BACA: Rais Yatim Ketua Bersatu Bahagian Jelebu

"Kenapa masih ribut-ribut konon Dewan Rakyat akan tentukan siapa jadi Perdana Menteri pada 2 Mac?

"Di Dewan Rakyat cuma boleh undi percaya atau tak percaya," tulis bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu lagi.