KUALA LUMPUR:Persoalan mengenai isu peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri akan dibincangkan dalam mesyuarat Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di sini hari ini.

Mengesahkan perkara itu, Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau ingin mendengar pandangan konsesus BN mengenai perkara itu terlebih dahulu.

“Itu yang akan kita bincangkan. Saya mahu dengar pandangan BN dahulu,” kata Bendahari Barisan Nasional itu kepada wartawan ketika ditemui di Menara Dato Onn pada Isnin.

Hishammuddin yang juga Menteri Luar berkata demikian ketika ditanya apakah isu mengenai peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dibincangkan selepas terdapat desakan untuk berbuat demikian.





LAPOR LANGSUNG: Mampukah Ahli Parlimen berhenti main politik selepas titah Agong?

LAPOR LANGSUNG: Tiada keperluan darurat, berhenti main politik - Titah Agong

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan mengadakan perjumpaan dengan semua Ahli Parlimen BN bagi membincangkan beberapa perkara, antaranya ialah titah Yang di-Pertuan Agong berhubung penolakan Pengisytiharan Darurat semalam.

Media difahamkan, isu yang akan turut dibincangkan ialah mengenai desakan untuk Muhyiddin berundur serta kemungkinan pilihan raya umum diadakan.

Awal hari ini media melaporkan, Muhyiddin  yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua parti politik.

Tetapi Ahmad Zahid, yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, dilaporkan tidak menghadiri perjumpaan itu.

Selain itu, media juga difahamkan bahawa Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang telah ditunda pada minggu lepas, akan berlangsung malam ini.

BACA: Tolak darurat: UMNO seru perdamaian politik, gesa penyertaan semua pihak - Zahid