Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abdul Aziz menyifatkan kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) paling kurang masalah dari segi pemasangan bendera.

Beliau ketika dihubungi Astro AWANI berkata, setakat hari ini (Ahad), tiada penurunan bendera parti politik yang dilakukan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sekitar Kuala Lumpur.

“Untuk PRU14 kali ini, masalah pemasangan bendera di tempat-tempat yang tidak sepatutnya dilihat semakin berkurangan.

“DBKL hanya akan menurunkan bendera sekiranya menerima laporan dari pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” jelasnya.

Tambah Mhd Amin, pihaknya hanya akan menurunkan bendera parti-parti politik sekiranya ia dipasang di tempat terlarang seperti tiang lampu isyarat.

“Masih tiada lagi mana-mana parti politik yang melanggar peraturan ini, justeru tiada penurunan bendera yang dilakukan pihak DBKL,” ujarnya.

Sementara itu, menurut panduan tataetika pilihan raya yang dikeluarkan oleh SPR, mana-mana parti politik tidak boleh memasang poster atau kain rentang di atas dan sekitar jambatan atau persimpangan jalan yang boleh menjejaskan pengguna jalan raya.

Pemasangan bahan-bahan kempen mestilah mempunyai permit yang dikeluarkan oleh Pengarah Pilihan Raya Negeri tertakluk terma dan syarat di bawah Seksyen 24B (4), Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk mempamerkan bahan-bahan kempen kepada orang ramai dalam bahagian pilihan raya yang ditandinginya.

Secara umumnya, orang ramai menyuarakan pandangan agar pemasangan bendera atau apa-apa bahan kempen sempena PRU14 tidak menjejaskan aspek keselamatan umum.

BACA: Bendera parti naik lori