Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri Selangor seakan menjadikan rakyat sebagai ‘tebusan’ demi membebaskan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara.

Jelas beliau, kerana itulah perjanjian penstrukturan perkhidmatan industri bekalan air antara Kerajaan Negeri Selangor dan kerajaan Persekutuan dibatalkan dengan mudah walaupun ianya bakal mendatangkan kemudaratan kepada rakyat.

"Saya melihat pembatalan perjanjian penstrukturan perkhidmatan industri bekalan air tersebut sebagai satu keputusan yang menunjukkan bahawa kerajan negeri lebih pentingkan politik daripada kesejahteraan rakyat.

"Telah lebih 32 kali perbincangan diadakan untuk mencapai kata putus berkenaan perjanjian air ini. Namun, sepanjang empat bulan Azmin menjawat jawatan Menteri Besar, banyak keputusan yang dibuat dilihat lebih menjurus kepada keputusan politik termasuklah isu air ini.

"Saya tertanya-tanya, adakah ini bermaksud keputusan ini datang daripada beliau selaku menteri besar ataupun menerima arahan tertentu terutama sekali daripada penasihat ekonomi di Sungai Buloh sebagai unsur ugutan kepada kerajaan persekutuan bagi membebaskan ketua pembangkang itu," ujarnya kepada UMNO-Online.

Tambah Irmohizam, perkara ini harus difikirkan bersama secara serius. Pembangkang dilihat menggunakan politik sebagai ugutan dan menjadikan rakyat sebagai ‘tebusan’ agar kerajaan memenuhi citarasa dan kehendak mereka.

"Pelaburan di Selangor juga semakin merudum. Bukan itu sahaja, peluang pekerjaan di negeri ini juga semakin terhakis.

"Generasi muda harus membuka pemikiran dan mata mereka dengan melihat peluang pekerjaan yang semakin terhakis di negeri Selangor dan tidak hairan sekiranya suatu hari mereka akan menyalahkan kerajaan Pusat sebagai punca kononnya kesan daripada kemerosoton ekonomi.

"Saya lihat perkara ini sangat merbahaya iaitu seolah-olah satu sabotaj kepada sistem ekonomi negara dengan pembatalan perjanjian air ini,” ujarnya lagi.