Isu bukan Melayu berpeluang dilantik sebagai Perdana Menteri dibimbangi dijadikan sentimen politik pembangkang menjelang Pilihan raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, pembangkang menyemarakkan sentimen tersebut supaya pengundi bukan Melayu terutama orang Cina menolak mana-mana calon Melayu terutama daripada Barisan Nasional (BN).

"Sentimen sedemikian tidak memberi kebaikan kepada semangat intergrasi yang dipupuk selama ini.

"Saya bimbang, isu bukan Melayu boleh dilantik sebagai Perdana Menteri yang dicanangkan pihak pembangkang akan mencetuskan keresahan dan curiga-mencurigai di kalangan rakyat negara ini," tegasnya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.

Katanya, keresahan di kalangan rakyat pelbagai kaum secara tidak langsung akan mencetuskan ketegangan politik yang boleh merosakkan masa depan negara.

"Pembangkang sepatutnya mengambil pendirian bahawa ketegangan antara kaum boleh memudaratkan hubungan sesama mereka dan tidak sepatutnya berlaku.

"Pihak pembangkang terutama blok Pakatan Harapan kelihatan begitu terdesak sehingga sanggup menamakan pemimpin politik bukan Melayu di kalangan mereka sebagai bakal Perdana Menteri," ujarnya.

Syed Ali turut melahirkan rasa kecewa kerana ada di kalangan pemimpin Melayu dalam blok pembangkang tergamak bersekongkol dengan cita-cita tersebut.

"Saya berasa hairan, mengapa ada pemimpin Melayu di kalangan mereka (pembangkang) termasuk yang pernah menjadi ahli UMNO, sanggup bersetuju dengan cadangan tersebut, walaupun jelas tidak menguntungkan kepada masa depan orang Melayu.

"Perkara itu hanya akan memberi ancaman kepada masa depan ketuanan Melayu di samping boleh memusnahkan kestabilan negara dan menjejaskan perpaduan rakyat yang dipupuk dan dipertahankan selama ini.

"Sejak pra kemerdekaan sehingga sekarang, jawatan Perdana Menteri pada kewajarannya disandang oleh pemimpin Melayu mewakili parti yang mempunyai majoriti di Dewan Rakyat," jelasnya.

Menurut beliau, status-quo pemerintahan demokarsi berparlimen di Malaysia menyaksikan orang Melayu diangkat sebagai Perdana Menteri atas perkenan Yang Dipertuan Agong.

"Dalam hubungan ini, pemimpin UMNO yang membentuk gagasan BN (dulu Perikatan) sebulat suara telah dipersetujui menyandang jawatan Perdana Menteri selepas negara mencapai kemerdekaan.

"Legasi kepimpinan negara itu bermula daripada zaman Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj sebagai Perdana Menteri Malaysia pertama sehingga sekarang di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

"Mengapa sekarang ini, blok pembangkang dilihat cuba bermain dengan sentimen bukan Melayu sebagai bakal Perdana Menteri, khabarnya daripada parti yang terkenal dengan semangat perkauman," tegasnya.

Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan bagaimanapun mendakwa sentimen tersebut dicanangkan apabila PRU ke-14 semakin hampir.

"Blok pembangkang sengaja memainkan isu tersebut bagi menagih sokongan bukan Melayu terutama pengundi Cina supaya menolak pemimpin Melayu daripada UMNO dan BN.

"Inilah taktik licik pembangakng untuk menguasai negara selepas PRU akan datang," tegasnya.

Justeru itu beliau mengingatkan orang Melayu terutama ahli-ahli UMNO supaya berusaha mengukuhkan semangat penyatuan dan perpaduan di kalangan mereka.

"Hanya semangat perpaduan dan setiakawan yang kukuh akan menjadi benteng kekuatan orang Melayu dalam menghadapi asakan pihak pembangkang.

"Jangan kita runtuhkan institusi orang Melayu hanya kerana terpedaya dengan permainan politik pembangkang, kita (orang Melayu) harus berfikir bagaimana masa depan generasi akan datang," tegasnya.