Pemecatan ahli UMNO pada zaman bekas Presiden parti, Tun Dr Mahathir Mohamad selalu dilakukan secara pantas dan tanpa belas kasihan.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata demikian sebagai mengulas mengenai pelbagai reaksi umum berikutan pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

"Kalau pada zaman Tun Dr Mahathir, pemecatan biasanya dibuat secara swift (pantas) dan ruthless (tiada belas kasihan).

"Lihat apa yang berlaku kepada Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Musa Hitam, Datuk Harun Idris serta Datuk Seri Anwar Ibrahim," kata Annuar.

Namun, menurut Annuar, Presiden UMNO kini Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil masa hampir setahun untuk bertindak.

"Itupun setelah diasak oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO secara bertubi-tubi. Walaupun begitu, beliau (Najib) masih lagi bertanya kepada majlis sama ada ini adalah keputusan sebulat suara atau ada lain-lain pandangan?" kata Annuar dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya lagi, Jawatankuasa Disiplin parti sudah mengemukakan penemuannya terhadap kes pelanggaran disiplin yang membabitkan kedua-dua mereka dan mendapati ada kes terhadap mereka.

"Namun, keputusan akhir diserahkan kepada Ahli Majlis Tertinggi," jelas Annuar.

Beliau turut mengingatkan semua ahli UMNO bahawa tiada ahli yang lebih besar daripada parti serta boleh melanggar disiplin parti tanpa dikenakan tindakan.