Pengerusi Barisan Nasional Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata keputusan pemecatan Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Mukhriz Mahathir adalah adil dan dilakukan setelah mengambil kira semua aspek untuk kepentingan parti.

Katanya, tindakan itu dilaksanakan berikutan sesetengah tindakan kedua-dua pemimpin tersebut melanggar sempadan dan perlembagaan yang ditetapkan dalam parti sendiri.

"Bukan timbalan sahaja yang terkena tetapi siapa-siapa pun, mana-mana ahli parti yang merentasi peraturan, garis panduan dan disiplin yang ditetapkan parti.

"Walaupun dia dianggap pedih atau terlalu sukar untuk dibuat terutama terhadap mereka yang menjawat jawatan tertinggi namun ini adalah keputusan parti dan kami di Perak menyokong tindakan yang dilakukan setelah penilaian pelbagai sudut diambil kira," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas meraikan seramai 191 orang anak angkat semasa Program Penyampaian Sumbangan Aidilfitri Dan Shopping Raya di Mydin Meru, Jelapang pada petang Sabtu.

Menteri Besar Perak itu juga berkata, pastinya pelbagai pihak akan melontarkan pendapat mereka berkenaan hal itu namun ianya merupakan keputusan majlis tertinggi setelah menilai beberapa perkara yang didapati menjejaskan dan peraturan dan perlembangaan parti.

Tegasnya,beliau bersetuju dengan ulasan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyifatkan salah satu asas dalam pemecatan itu adalah kerana kedua-dua pemimpin UMNO itu telah berada sepentas bersama pemimpin pembangkang dan menyerang kepimpinan parti.

"Shafie Apdal digantung kerana penilaian terperinci telah dilakukan, MT UMNO juga telah memeriksa setiap kes yang dikenakan terhadap setiap seorang daripada mereka,"ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Zambry juga menjelaskan bahawa majlis sambutan Raya bakal berlangsung di Kuala Kangsar namun ianya tidak berkait dengan kemenangan pilihan raya baru-baru ini.

"SPR memperuntukkan masa dua bulan selepas pilhan raya, dan kita pun tidak bercadang untuk mengadakan apa-apa aktiviti bersifat meraikan.

"Cuma kali ini, setiap daerah akan dipilih maka Kuala Kangsar mendapat giliran pada kali ini,"ujarnya lagi.