Keputusan pemecatan Raymond Ahuar sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew adalah keputusan Kabinet.

Menjelaskan perkara itu, Christina yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet dan bukan keputusan ketua menteri atau mana-mana individu.

"Ini adalah sesuatu yang saya mahu jelaskan, ia keputusan Kabinet selepas mesyuarat dan sudah tentu ada sebab (dipecat) tetapi saya tidak fikir untuk ulas apa yang dibincangkan dalam Kabinet," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program 'Ke Tamu' yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Laman Seni, di sini hari ini.

Pada Khamis lepas, media melaporkan Raymond yang juga memegang jawatan sebagai Ketua Cabang PKR Pensiangan telah dipecat daripada jawatan itu dan mendakwa keputusan berkenaan dicadangkan oleh ketua menteri Sabah sebelum dipersetujui oleh Kabinet.

Mengulas mengenai kedudukan Raymond dalam parti itu, Liew berkata dalam mesyuarat PKR yang diadakan pada petang Sabtu, perkara itu tidak dibincangkan sebaliknya lebih memfokuskan pelbagai isu antaranya usaha untuk meningkatkan industri pelancongan di Sabah.

Selain itu mesyuarat berkenaan juga membincangkan persiapan untuk menghadapi pilihan raya yang akan datang.

"Raymond juga ada datang ke mesyuarat itu tetapi hanya sebagai Ketua Cabang PKR Pensiangan saja, kami terima keputusan (pemecatan) itu," katanya.

-- BERNAMA