Bekas menteri besar Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin tewas dalam pemilihan Amanah peringkat kawasan Gopeng, pada Sabtu.

Malaysiakini melaporkan Nizar merupakan salah seorang dari tujuh orang yang gagal mendapat undi terbanyak untuk berada dalam dalam kalangan 15 calon Ahli Jawatankuasa (AJK) Kawasan.

"Dalam pemilihan tersebut, seramai 70 orang perwakilan telah menjalankan tanggungjawab sebagai ahli parti, mereka dikehendaki memilih 15 orang AJK daripada 22 orang calon yang bertanding," kata sumber parti itu.

Pemilihan Amanah kawasan Gopeng dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari dan berlangsung di Hotel Seri Malaysia, Ipoh.

Keputusan itu menyaksikan Mohammad Nizar yang juga timbalan pengerusi Amanah Perak gagal mengekalkan jawatannya sebagai AJK Amanah kawasan Gopeng.

Difahamkan, 15 orang AJK yang dipilih rata-rata adalah muka lama yang diberi kepercayaan untuk meneruskan tanggungjawab mengemudi Amanah kawasan itu.

Selepas keputusan diumumkan, 15 AJK baru itu mengadakan mesyuarat untuk melantik ketua, timbalan ketua dan naib-naib ketua Amanah kawasan berkenan.