Proses pencalonan bagi Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) penggal 2018-2021 bermula hari ini dengan proses penyerahan borang bermula pukul 9 pagi, dan dijadualkan tamat pada 5 petang nanti.

Untuk Majlis Pimpinan Pusat (MPP), jawatan yang akan dipertandingkan ialah Presiden (1), Timbalan Presiden (1), Naib Presiden (4), dan ahli MPP (20).

Bagi Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) pula, jawatan yang dipertandingkan dalam sayap itu ialah Ketua (1), Timbalan (1), Naib Ketua (3), dan ahli MPP sayap (20).

Setakat pukul 12 tengah hari, antara nama yang sudah mengesahkan bertanding ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai presiden, Pengarah Invoke Malaysia Rafizi Ramli (Timbalan), ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Ken (Naib), ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh (Ketua Wanita), serta ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir dan anggota Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik Najwan Halimi sebagai ketua AMK.

Sementara itu, difahamkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan menghantar borang pencalonannya melalui wakil kerana beliau kini sedang berada di Singapura untuk urusan rasmi.

Untuk pemilihan kali ini, sekitar 800,000 ahli parti itu akan diberi tanggungjawab untuk memilih pimpinan mereka yang baharu.


Selain itu, proses berkenaan juga akan menyaksikan sistem e-voting bagi memudahkan urusan parti memilih calon-calon yang mereka kehendaki.