Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memperkukuh sokongan di Selangor apabila kekal mendahului pencabar tunggalnya dalam saingan jawatan timbalan presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli pada fasa kedua pemilihan parti yang berlangsung di tujuh cabang di Selangor hari ini.

Tujuh cabang berkenaan ialah Puchong, Gombak, Petaling Jaya (PJ) Utara, PJ Selatan, Kuala Langat, Klang dan Selayang.

Menurut laman sesawang Pemilihan Keadilan 2018 di www.pemilihankeadilan2018.com, Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi memperoleh 4,978 undi sementara Mohd Rafizi memperoleh 4,385 undi.

Bekas Menteri Besar Selangor itu mendapat sokongan di cabang Gombak, Kuala Langat, PJ Utara dan PJ Selatan sementara Mohd Rafizi memperoleh sokongan di cabang Klang, Puchong dan Selayang.

Ini menjadikan undian terkumpul yang diperolehi Mohamed Azmin setakat ini di Selangor berjumlah 14,315 undi manakala Mohd Rafizi yang juga naib presiden PKR mendapat sebanyak 12,948 undi.

Keputusan bagaimanapun hanya akan dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) selepas Peti Undi Ragu diproses.

Selangor mempunyai keanggotaan paling ramai disahkan layak mengundi iaitu 249,850 orang.

Fasa terakhir pemilihan di Selangor membabitkan enam lagi cabang daripada keseluruhan 22 cabang di negeri itu akan diadakan pada 28 Okt ini, iaitu Tanjong Karang, Kuala Selangor, Ampang, Pandan, Shah Alam dan Hulu Langat.

Dalam pada itu, persaingan di peringkat cabang menyaksikan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dipilih sebagai ketua cabang Gombak yang baharu apabila menewaskan pencabarnya Datuk Mohamed Nizam Md Saad dengan memperoleh 1,116 undi.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar pula dipilih sebagai ketua cabang Kuala Langat yang baharu selepas menewaskan tiga pencabarnya dengan memperoleh 1,481 undi, sementara Exco kerajaan Selangor Hee Loy Sian memenangi jawatan ketua cabang PJ Selatan apabila menewaskan Syamsul Firdaus Mohamed Supri dengan memperoleh 568 undi.

Pemilihan hari ini juga menyaksikan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Bukit Lanjan Elizabeth Wong Keat Ping satu-satunya calon yang menang tanpa bertanding iaitu bagi jawatan ketua cabang PJ Utara.

-- BERNAMA