Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memperkukuh kedudukan di Kedah apabila mendahului pencabarnya Mohd Rafizi Ramli dalam saingan merebut jawatan timbalan presiden PKR pada pemilihan parti berkenaan di negeri itu.

Keputusan tidak rasmi menunjukkan Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi memperoleh 3,754 undi manakala Mohd Rafizi mendapat 3,111 undi susulan pemilihan di semua 15 cabang di negeri ini yang berlangsung dalam dua peringkat, hari ini dan semalam.

Pengundian di lima cabang hari ini, melibatkan Jerai, Merbok, Sungai Petani, Padang Serai dan Kulim-Bandar Baharu menyaksikan Mohamed Azmin memperoleh 2,606 undi berbanding Mohd Rafizi 2,080 undi.

Pada pemilihan parti di 10 cabang semalam, Mohamed Azmin yang juga bekas Menteri Besar Selangor mendapat 1,148 undi mengatasi Mohd Rafizi dengan 1,031 undi.

Sepuluh cabang berkenaan ialah Kuala Kedah, Alor Setar, Kubang Pasu, Pendang, Sik, Padang Terap, Pokok Sena, Baling, Langkawi dan Jerlun.

Pemilihan parti itu di Kedah diadakan semula setelah ia dibatalkan pada 22 Sept lepas.

-- BERNAMA