Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan sebagai terlalu awal, pengumuman kemenangan oleh kem Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dalam saingan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan pemilihan PKR belum sampai ke penghujungnya.

"Kadang-kadang orang macam teruja, seronok kan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Badminton Remaja Astro bawah 15 tahun di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kem Mohamed Azmin yang mengumumkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu telah menewaskan bekas Anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli dan memenangi saingan dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti kali ini.

Mengenai sama ada PKR cabang Julau, Sarawak, akan membuat pemilihan semula berikutan dakwaan serangan siber pada Sabtu lepas, Dr Wan Azizah berkata ia terserah kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP)

"Mereka akan membuat keputusan untuk mengadakan (pemilihan semula) atau tidak, itu saya biarkan (kepada JPP) sebagai tanda kita nakkan pemilihan itu bebas," katanya.

Keputusan pemilihan PKR bagi cabang Julau, semalam digantung serta-merta selepas pihak JPP mengesan serangan siber pada 10 unit tablet yang digunakan untuk mengendalikan e-undi.

Pengerusi JPP, Datuk Rashid Din berkata dilaporkan berkata kejadian itu dipercayai berpunca daripada pencerobohan perisian Prey Anti-Theft, justeru laporan berhubung serangan terbabit dihantar bagi mendapatkan maklumat balas pasukan keselamatan siber JPP di Petaling Jaya.

Sementara itu, mengulas mengenai saranan sesetengah pihak supaya hukuman mati mandatori dikekalkan, Dr Wan Azizah berkata kerajaan sememangnya berbincang untuk memansuhkan hukuman berkenaan.

"Ada lagi hukuman-hukuman yang boleh kita berikan sebab ada jenayah yang berat yang saya rasa tidak boleh difikirkan oleh manusia, tetapi dah berlaku. Itu kita nak menangani masalah itu," katanya.