Walaupun wujud kem dalam PKR, namun ia bukan faktor untuk kepimpinan parti itu berpecah sekaligus tercetusnya krisis.

Itu tegas Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul berdepan pemilihan parti itu pada Ogos depan.

“Kami telah bersama sejak 20 tahun lalu. Kami bergaduh satu sama lain sejak 20 tahun lalu, tapi tiada apa berlaku.

“Kami bukan seperti parti lain seperti Barisan Nasional (BN) yang berpecah apabila bergaduh. Kami tidak,” ujarnya kepada media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Rafizi semalam mengumumkan akan bertanding Timbalan Presiden dan dalam masa sama memperkenalkan pasukannya, antaranya Johari dan Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar.

Rafizi berkata beliau telah mengumpulkan individu yang telah banyak berkorban untuk agenda reformasi sejak 1998 dan berhasrat meneruskan perjuangan di bawah kepimpinan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja sebagai bakal presiden parti tetapi sebagai perdana menteri kelapan.

Pilihan raya PKR akan berlangsung pada 24 Ogos selama sembilan minggu dan keputusan dijangka diumumkan pada November ini.

Semalam Presiden Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menafikan wujudnya kem dalam PKR.

Beliau juga menyokong semua pihak termasuk Rafizi yang mahu bertanding jawatan Timbalan Presiden yang kini disandang oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sementara itu, Johari turut mengucapkan selamat berjaya kepada Mohamed Azmin pada pemilihan kali ini.

“Semoga berjaya, sudah tentu dia ada kem dalam pasukan dia, saya tak tahu siapa mereka tu. Saya pun tak tahu apa posisi yang akan ditandingi Azmin, dia mungkin akan bertanding timbalan atau lebih tinggi dari itu, saya tak tahu.

“Saya hanya boleh cakap pasal team saya iaitu team Rafizi,” katanya.