Mohd Rafizi Ramli mendahului Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam persaingan jawatan timbalan presiden PKR susulan pemilihan melibatkan tiga cabang parti di Perlis pada Ahad.

Pengerusi PKR negeri, Mohammad Faisol Abd Rahman ketika mengumumkan keputusan rasmi itu berkata pengiraan undi menyaksikan Mohd Rafizi memperoleh 400 undi manakala Mohamed Azmin meraih 334 undi.

Proses pemilihan PKR di negeri ini dilihat agak hambar apabila kurang 20 peratus daripada 5,490 anggota parti yang layak mengundi menunaikan tanggungjawab mereka.

Keputusan pemilihan bagi ketua-ketua cabang menyaksikan Amran Kamarudin menang di Padang Besar, Noor Amin Ahmad (Kangar) dan Izhar Kamarudin Sudin (Arau).

Terdahulu, Mohd Rafizi juga mendominasi persaingan di Negeri Sembilan apabila mendahului Mohamed Azmin pada pemilihan parti yang berlangsung di lapan cabang pada Sabtu.

Lapan cabang berkenaan ialah Jelebu, Jempol, Seremban, Kuala Pilah, Rasah, Rembau, Telok Kemang dan Tampin.

Menurut laman sesawang www.pemilihankeadilan2018.com, keputusan pemilihan di Negeri Sembilan yang dimuat naik pada jam 6.30 petang Ahad, Mohd Rafizi memperoleh 3,053 undi manakala Mohamed Azmin memperoleh 2,962 undi.

Bekas Menteri Besar Selangor itu yang mempertahankan jawatan timbalan presiden parti mendapat sokongan cabang Kuala Pilah, Telok Kemang dan Jempol sementara Mohd Rafizi yang juga bekas Anggota Parlimen Pandan mendapat sokongan daripada lima cabang iaitu Rembau, Seremban, Rasah, Tampin dan Jelebu.

Sebelum ini, keputusan undi di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Wilayah Persekutuan memihak kepada Mohd Rafizi sementara Mohamed Azmin menguasai undi di Pulau Pinang, Johor dan fasa pertama pemilihan di Selangor.