Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli mendahului pencabarnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden sempena pemilihan parti itu bagi peringkat Kelantan yang berlangsung pada Jumaat.

Menurut laman sesawang Pemilihan Keadilan 2018 di www.pemilihankeadilan2018.com, Mohd Rafizi menang dengan 289 undi selepas memperoleh 5,211 undi berbanding Mohamed Azmin yang menerima 4,922 undi.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR Kelantan, Mohd Sukirman Mustafa, bagaimanapun berkata keputusan undian dipaparkan di laman sesawang berkenaan berkemungkinan berubah memandangkan terdapat lebih 400 undi meragukan yang hanya akan disahkan dalam tempoh seminggu.

"Keputusan yang dipaparkan di laman sesawang berkenaan adalah sah tetapi masih belum rasmi. Keputusan muktamad hanya selepas peti undi meragukan itu diproses," katanya ketika dihubungi Bernama malam tadi.

Mohd Sukirman berkata Mohd Rafizi mendapat sokongan lapan daripada 14 cabang membabitkan Kota Bharu, Pengkalan Chepa, Bachok, Machang, Gua Musang, Kuala Krai, Pasir Mas dan Pasir Puteh.

Beliau berkata Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi pula mendapat sokongan enam cabang, masing-masing Ketereh, Tanah Merah, Jeli, Tumpat, Kubang Kerian dan Rantau Panjang.

Dalam perkembangan sama, Mohd Sukirman berkata Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Kelantan Ab Aziz Ab Kadir berjaya mempertahankan kedudukan sebagai Ketua Cabang Ketereh selepas menewaskan pencabarnya, Lukman Hakim Mustapha dengan majoriti 371 undi.

Beliau berkata Ab Aziz mendapat 453 undi berbanding Lukman Hakim yang hanya memperoleh 82 undi.

Katanya sebanyak 43,200 anggota berdaftar layak mengundi, namun hanya lebih 10,000 anggota parti itu yang keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada hari ini.

Terdahulu, Mohd Rafizi mendahului Mohamed Azmin dalam pertandingan jawatan timbalan presiden menerusi pengundian melibatkan lapan cabang parti di Terengganu.

Mohd Rafizi memperoleh 1,506 undi manakala Mohamed Azmin meraih 1,269 undi, menurut laman sesawang Pemilihan PKR 2018 di www.pemilihankeadilan2018.com.

Sebelum ini, Mohamed Azmin, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, mendahului pemilihan di Pulau Pinang dan Johor.

Pada Jumaat, pusat pengundian dibuka bagi lapan cabang iaitu Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Dungun, Marang dan Kemaman.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Datuk Rashid Din, menerusi laman sesawang berkenaan, berkata JPP hanya akan memuktamadkan keputusan untuk cabang-cabang negeri Terengganu setelah peti undi ragu dibuka.