PKR tidak akan berkompromi dengan mana-mana petugas yang didapati terlibat dalam rasuah dan politik wang sepanjang proses pemilihan parti itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR Pusat, Datuk Rashid Din berkata, JPP terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan proses pemilihan parti itu telus dan dilaksanakan penuh integriti.

"JPP akan meneruskan pemantauan terhadap semua petugas yang mengendalikan proses pengundian yang bermula pada hujung minggu ini hingga pengundian berakhir pada 28 Okt ini.

"JPP juga sudah membuat siasatan dalaman dengan teliti dan kami nyatakan dengan tegas, setakat ini tiada petugas JPP Pusat terlibat dengan aktiviti yang melanggar peraturan dan etika pemilihan parti," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, hari ini.

Rashid turut menegaskan kes penahanan dua petugas JPP di Kedah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini, tidak menjejaskan proses pemilihan di negeri itu pada Sabtu ini.

Ahad lepas, SPRM menahan dua lelaki kerana disyaki meminta suapan berjumlah RM20,000 daripada seorang individu bagi pemilihan cabang PKR di negeri itu.

Kedua-dua suspek itu ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan.

Dalam perkembangan lain, Rashid berkata seramai 171,424 anggota layak mengundi pada proses pemilihan parti di empat negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak pada Sabtu dan Ahad ini.

Bagi proses pengundian di negeri-negeri lain, JPP akan memaklumkan dari semasa ke semasa di laman rasmi pemilihan, katanya. -- Bernama