Kenyataan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu tindakan tegas ke atas anggota yang melanggar peraturan dalam pemilihan parti disokong Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin.

Zuraida yang juga calon Naib Presiden parti itu berkata siasatan menyeluruh perlu dilakukan dan beliau akan membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat Biro Politik PKR kelak.

“Seperti apa yang dalam kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya perlu ada siasatan, saya sokong.

“Saya minta Biro Politik Keadilan mensarankan kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti JPP untuk membuat siasatan menyeluruh,” katanya kepada media di Lobi Parlimen di sini, hari ini.

Beliau berkata antara siasatan yang perlu dilakukan membabitkan insiden kekecohan pemilihan di Selangor dan kekeliruan undi di Melaka dan Negeri Sembilan.

Mengulas mengenai kekeliruan undi di Melaka beliau berkata ia mungkin berpunca daripada masalah teknikal.

“Saya tidak tahu seolah- olah ada sedikit masalah teknikal yang mana harus diperbetulkan, diperkemaskan oleh jawatankuasa pemilihan parti.

“Kita lihat ada beberapa angka pengundi yang keluar tidak selari dengan keputusan. Jadi didapati ada masalah teknikal yang mana ada kehilangan undi.”