Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan pemilihan Presiden UMNO dibuat melalui anggota parti dan bukan melalui netizen atau mana-mana individu.

Jelas Timbalan Presiden UMNO itu, parti itu tiada masalah walaupun pucuk pimpinan parti itu masih berehat kerana tanggungjawab berkenaan tetap dipikul beliau.

"Pemilihan presiden dibuat oleh ahli parti, bukan melalui netizen atau sesiapa. Pemilihan telah dijalankan dan kita (masih ada) Presiden (UMNO) dan saya Timbalan Presiden. Sekarang Presiden berehat sekejap dan saya menjalankan tugas beliau," katanya kepada media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pas dan UMNO di Menara Dato' Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada Selasa.

Mohamad mengulas gesaan sesetengah pihak di media sosial yang mahu beliau memegang jawatan Presiden UMNO bagi memimpin parti itu.

Tambahnya, beliau menyerahkan kepada keputusan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bila masa sesuai untuk kembali menjalankan tugas sebagai Presiden UMNO semula.

"Terpulang pada beliau, kalau beliau rasa mahu kembali menjalankan tugas sebagai Presiden. Namun, dalam parti kita tiada masalah. Cukuplah, saya cakap ini sahaja," ujarnya.