Pencalonan Khairy Jamaluddin sebagai Presiden UMNO disifatkan sebagai pemecah undi kepada ahli parti itu yang inginkan pembaharuan.

Menurut Pengarah Eksekutif Ilham Center, Hisommudin Bakar, berdasarkan kajian lapangan yang dijalankan ke atas perwakilan UMNO, ia mendapati perwakilan veteran merasakan Khairy masih belum bersedia untuk bertanding jawatan tersebut.

“Khairy adalah pemecah undi kepada ahli UMNO yang inginkan parti keramat itu untuk membuat reformasi.

“Jadi perwakilan yang bersifat ‘anti-establishment’ yang sedang memihak kepada Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah buat masa ini merasakan sebahagian undi akan tersalur kepada Khairy.

“Kajian tersebut turut mendapati perwakilan veteran menyokong Tengku Razaleigh atas sentimen dan emosi yang ditunjukkan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini pada Jumaat.

Sementara itu, rumusan kajian lapangan yang dijalankan selama lapan hari oleh Ilham Center dengan jumlah responden 581 perwakilan UMNO mendapati sokongan bahagian kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berada pada paras 51 peratus.

Manakala Tengku Razaleigh yang lebih mesra dikenali sebagai Ku Li meraih 35 peratus dan Khairy mendapat enam peratus.

Bagaimanapun, bahagian yang belum jelas sokongan mereka adalah pada tahap lapan peratus.

Pada 21 Jun lalu, senarai akhir yang disiarkan di laman web UMNO Online mendapati lima calon bakal bertanding merebut jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti itu Sabtu ini.

Lima calon disenaraikan itu ialah Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah; Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin; Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Mohamed Iqbal Maricair dan Mohd Yusof Musa @ Jamaludin daripada UMNO Bahagian Iskandar Puteri.