Ketua Pemuda Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Selangor, Rajkumar Batumalai bersama Ketua Wanita DHPP Selangor, Pushpa Nagiah Vengdesa mengumumkan keluar parti dan menyertai Parti Amanah Negara (Amanah), hari ini.

Turut bersama mereka ialah 24 ahli jawatankuasa Pemuda dan Wanita DHPP Selangor termasuk Timbalan Ketua dan Bendahari Wanita DHPP daripada kawasan Kuala Selangor, Kuala Langat, Kota Raja, Subang, Shah Alam dan Kapar.

Menurut Rajkumar, ahli-ahli tersebut memilih menukar parti atas pilihan sendiri tanpa sebarang paksaan mana-mana pihak.

"Kami percaya parti baharu ini lebih sesuai dan mesra dengan jiwa kami kerana pendekatannya yang jauh lebih inklusif, progresif, dan adil, bersesuaian dengan konsep rahmat untuk semua," katanya pada sidang media pengisytiharan keluar PAS di sini, hari ini.

Selain itu, 2, 055 ahli lain dari lapan kawasan turut sama menyertai Amanah.

Ia termasuk 500 ahli dari kawasan Kuala Selangor, 425 daripada Kota Raja, Subang (300), Shah Alam (300), Kapar (100), Hulu Selangor (300), Kuala Langat (100), dan Klang seramai 30 ahli.

Pada masa sama, 16 kawasan daripada 21 kawasan DHPP juga turut dibubarkan.

"Kami percaya lebih ramai ahli-ahli DHPP dari kawasan-kawasan lain akan mengikut langkah kami ini secara berperingkat memandangkan parti baharu ini memberikan keahlian penuh kepada kami," jelasnya.