Pihak polis tidak seharusnya membelakangkan kuasa Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk menahan mana-mana Ahli Parlimen ketika dewan sedang bersidang.

Ahli Parlimen Sungai Petani (PKR) Datuk Johari Abdul berkata, penahanan tersebut seharusnya perlu mendapat keizinan terlebih dahulu daripada Speaker Dewan Rakyat sebelum mereka berbuat demikian.

"Kenapa polis masuk ke kawasan kita? Ini bukan soal pembangkang atau kerajaan. Salah atau tidak salah, penangkapan tersebut tidak seharusnya berlaku di kawasan Parlimen," katanya dalam persidangan dewan rakyat di pada Rabu.

Ahli Parlimen Pandan (PKR), Rafizi Ramli ditahan pihak polis pada Selasa semasa dewan sedang bersidang.

Perkara ini turut mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen Kapar, Manivannan Gowin yang menjelaskan perkara ini merupakan insiden kedua dan sekali lagi kuasa Speaker Dewan Rakyat diketepikan.

Selain itu, mereka turut menuntut Pandikar Amin supaya memohon supaya Ketua Polis Negara dipecat jawatannya kerana menyeleweng kuasa.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu (Amanah), Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah pula menyifatkan tindakan pihak polis itu seolah-olah menggambarkan Rafizi seorang penjenayah dan menganggapnya sebagai keterlaluan.

Sementara itu, menurut Pandikar Amin, beliau akan menyiasat perkara ini terlebih dahulu.

Beliau juga tidak menolak ketetapan peraturan Parlimen supaya mana-mana pihak perlu mengeluarkan notis terlebih dahulu dan menunjukkan kepadanya sekiranya ingin berbuat apa-apa.

"Saya akan mengambil kira mengenai usul ini dan akan menyiasat di mana penangkapan Rafizi dilakukan semalam sama ada di ruang Parlimen ataupun di luar," katanya.