PROSES penamaan calon pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Perak hari ini ialah yang kedua berlangsung dalam keadaan negara masih di bawah perintah kawalan pergerakan akibat COVID-19.

Sebelum ini, PRK dalam suasana sama berlangsung pada di DUN Chini 4 Julai lepas.

Kumpulan penyokong Tun Dr Mahathir Mohamad menamakan peguam syarie dan peguambela, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi sebagai calon di N-58 Slim yang akan berlangsung 29 Ogos ini.

Anak jati Perak itu akan bertanding atas tiket bebas, berdepan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz yang juga pemangku ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim.

PRK DUN Slim diadakan susulan kematian ahli dewan undangan negeri (ADUN) Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu.

Semasa pilihan raya umum ke-14 (PRU14), Allahyarham yang bertanding mewakili BN menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon Pas, Muhammad Zulfadli Zainal.

Perak mempunyai 59 kerusi DUN dan daripada jumlah itu, 32 membentuk Perikatan Nasional (PN) terdiri daripada 25 BN yang semuanya UMNO, Bersatu (empat), Pas (tiga) manakala DAP (16), Amanah (lima), PKR (tiga), bebas (dua) serta Gerakan (satu).