Permohonan pendaftaran Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai sebuah pakatan parti politik telah mendapat kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS)

Mengesahkan perkara ini, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini dalam proses mengeluarkan sijil kelulusan pendaftaran parti dari Sarawak itu.

Muhyiddin berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kapit yang juga Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Alexander Nanta Linggi petang tadi.

GPS yang ditubuhkan pada 12 Jun lalu dianggotai empat parti komponen iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (PDP) ekoran pembubaran Barisan Nasional di negeri itu.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Tun Openg kemudian diangkat sebagai Pengerusi Protemnya.
Ketika ini GPS menguasai 70 kerusi di Dewan Undangan Negeri Sarawak dan 19 kerusi di Parlimen.