Angkatan Muda Keadilan (AMK) percaya penetapan tarikh peralihan kuasa Perdana Menteri akan mencerminkan kesepakatan utuh dalam Pakatan Harapan (PH), kata ketuanya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, penetapan itu juga boleh mematahkan persepsi pergolakan dalam PH yang sering dimainkan pihak pembangkang.

“Saya sarankan Sekretariat PH agar memastikan Mesyuarat Majlis Presiden akan datang membuat ketetapan tarikh peralihan Perdana Menteri pada Mei 2020 bagi menjamin kelangsungan agenda Pakatan Harapan,” katanya lagi.

Semalam, Ketua Sekretariat PH Datuk Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata, tiada sebarang pertikaian dalam Majlis Presiden PH mengenai muafakat mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-8 selepas Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, Saifuddin, yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, muafakat itu tidak menyatakan sebarang tarikh peralihan, sekali gus bermaksud, tarikh peralihan kuasa Perdana Menteri pada Mei 2020 yang digembar-gemburkan ketika ini, tidak timbul sama sekali.

“Sekiranya tarikh peralihan kuasa ingin ditimbulkan juga, maka YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah menyatakan pada 10 Disember 2019 bahawa beliau akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada YB Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Sidang Kemuncak APEC 2020 pada hujung tahun ini,” kata Saifuddin dalam kenyataan media itu.

Mengulas mengenai kenyataan Saifuddin, Mohd Akmal berkata, walaupun AMK menyambut baik kenyataan itu, pada masa yang sama persetujuan agar peralihan berlaku dalam tempoh dua tahun PH menjadi kerajaan perlu diperincikan bagi menjamin kelangsungan agenda parti pemerintah itu.

“Kita seharusnya berterima kasih dan menghormati keputusan peletakkan jawatan Menteri (Pendidikan) oleh YB Dr Maszlee Malik dan sebelum ini jawatan Menteri Besar Johor oleh YB Osman Sapian.

“Pengalaman ini menunjukkan bahawa pertukaran boleh berlaku dengan baik dan harmoni dalam pentadbiran Pakatan Harapan,” kata Mohd Akmal lagi.