Keputusan bekas naib presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk mengambil alih sebuah parti yang diasaskan di Sabah, dilihat oleh penganalisis politik sebagai laluan pintas yang menyediakan platform politik untuk beliau bertanding pilihan raya umum akan datang.
Walaupun masih awal untuk mengetahui kesan daripada langkah beliau itu, penganalisis bagaimanapun percaya bahawa bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu tidak mungkin memberi kesan terhadap senario politik Sabah, mahupun menyebabkan sebarang perubahan besar dalam sokongan rakyat terhadap UMNO.
Khamis lepas, Shafie pergi ke pejabat Pendaftar Pertubuhan (RoS) di Putrajaya untuk memutuskan sebarang perubahan kepada nama parti, logo dan pelbagai butiran lain.
Turut hadir, Anggota Dewan Undangan Negeri Sulabayan Datuk Jaujan Sambakong, dan bekas naib presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga Anggota Parlimen Penampang Darell Leiking.
Shafie, yang mengambil alih sebuah parti yang ditubuhkan di Sabah pada 2013, memberitahu pemberita bahawa nama dan lain-lain butiran baharu parti itu hanya akan diumumkan selepas RoS meluluskannya.
PARTI ASAL SABAH
Penganalisis politik Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata adalah jelas bahawa Mohd Shafie cuba untuk menjimatkan masa dan tenaga dengan mengambil alih parti sedia ada kerana urusan untuk mendaftarkan parti baru akan memakan masa.
"Dengan khabar angin yang tersebar bahawa pilihan raya akan diadakan lebih awal, mengambil alih (sebuah parti yang tidak aktif) adalah satu langkah bijak. Dia (Shafie) kini perlu mempunyai strategi (untuk memastikan kejayaan parti)," kata Jeniri, yang berkhidmat di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Tanpa sokongan kuat daripada peringkat akar umbi dan senarai calon-calon yang boleh dipercayai, agak sukar bagi parti itu untuk memenangi sokongan rakyat, katanya.
Selain itu, cabaran paling besar bagi Shafie adalah untuk menyatukan semua parti pembangkang di negeri itu di bawah satu pakatan.
"Dia tahu bahawa satu-satunya cara untuk dia (kekal dalam politik) adalah dengan memberi tumpuan kepada Sabah dan bukannya menebarkan sayapnya ke Semenanjung. Inilah hakikat praktikalnya. Saya tidak memandang rendah terhadap Datuk Seri Shafie tetapi pengaruhnya adalah terhad kepada kumpulan tertentu," kata Jeniri.
Seorang lagi penganalisis politik, Dr Suffian Mansor berkata keputusan Shafie untuk mengambil alih sebuah parti yang diasaskan di Sabah mungkin berpunca daripada fakta bahawa kebanyakan ahli-ahli politik Sabah dan Sarawak tidak mahu dikaitkan dengan parti-parti dari Semenanjung.
"Adalah bijak bagi beliau untuk tidak menyertai PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia). Dia perlu mendapat sokongan akar umbi masyarakat tempatan. Seperti yang anda tahu, rakyat di Sabah dan Sarawak lebih suka menyokong parti tempatan. Jika dia bergabung dengan PPBM, pasti ramai yang akan akan menyoalnya tentang bagaimana dia akan berjuang untuk membela hak-hak Sabah," katanya.
Suffian, pensyarah kanan Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi di Universiti Kebangsaan Malaysia berkata Shafie mungkin telah mengkaji pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini dan menyedari bagaimana sentimen tempatan memberi kesan terhadap keputusannya dan membolehkan Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan besar.
(Pada pilihan raya Sarawak 7 Mei lepas, BN memenangi 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri.)
"Pertama, dia perlu menambat hati dan minda pengundi Sabah tetapi saya rasa akhirnya partinya akan bergabung dengan PPBM.
"Tetapi kini, masalah yang paling besar adalah bagaimana parti itu akan bekerjasama dengan PKR di Sabah. DAP tidak menjadi masalah kerana mereka lebih cenderung untuk bertanding di kawasan majoriti Cina; PKR, di sisi lain, akan memilih untuk kerusi campuran dan juga majoriti Islam," kata Suffian.
MUNGKIN BEKERJASAMA DENGAN USNO BARU
Pensyarah kanan di Fakulti Sains Sosial UNIMAS Dr Arnold Puyok percaya bahawa Shafie berkemungkinan "menyekutukan dirinya" dengan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu atau USNO Baru, yang ditubuhkan pada 2013.
"Bagaimanapun, saya kira pengundi Islam berkemungkinan besar akan menyokong CM (Ketua Menteri) Musa Aman dan pemimpin-pemimpin Bajau lain seperti Datuk Seri Salleh Said Keruak (Menteri Komunikasi dan Multimedia)," katanya.
Profesor Madya di Jabatan Sosiobudaya Universiti Malaya (UM) Dr Awang Azman Awang Pawi berkata penyertaan parti yang diterajui Shafie dalam politik Sabah boleh menjejaskan PKR lebih daripada BN atau parti-parti pembangkang lain seperti DAP.
"Kesan awal terhadap PKR berlaku selepas Darell keluar parti (untuk menyertai Shafie). Di Sabah, adalah perkara biasa untuk ahli-ahli politik melompat dari satu parti kepada yang lain. Sekarang kesemua mata tertumpu kepada (Ketua PKR Sabah) Datuk Seri Lajim Ukin... pastinya menarik untuk melihat apakah langkah beliau seterusnya. Adakah beliau akan menyertai parti Shafie?"
Awang Azman berkata politik Sabah sangat bersifat kenegerian dan pembentukan satu lagi parti pembangkang akan menolak PKR, yang merupakan parti nasional, terpinggir ke satu sudut.
Lajim, yang juga bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, meninggalkan UMNO pada 2012 untuk menyertai PKR. Beliau kini merupakan Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Sabah.
PRAMATANG
Pengarah Pusat Penyelidikan Strategik dan Keselamatan Universiti Malaysia Sabah, Dr Zaini Othman pula berpendapat bahawa adalah terlalu awal untuk meramalkan kesan langkah terbaru Shafie.
"Ia adalah jelas bahawa dia mahu menjadikan kehadirannya dirasai di Sabah selepas meninggalkan UMNO. Orang ramai telah menjangkakannya tetapi bagi saya, ia masih terlalu awal untuk menganalisis kesan politiknya ke atas Sabah dan pada peringkat kebangsaan," katanya. - BERNAMA
Bernama
Mon Sep 26 2016
Shafie, yang mengambil alih sebuah parti yang ditubuhkan di Sabah pada 2013, memberitahu pemberita bahawa nama dan lain-lain butiran baharu parti itu hanya akan diumumkan selepas RoS meluluskannya. - Gambar fail
Tangisan anak bongsu Noor Rahiza undang sebak
Tangisan anak bongsu Bintara Muda TNL Noor Rahiza Anuar yang berusia enam tahun ketika melihat jenazah ibunya dikebumikan malam tadi mengundang rasa sebak sehingga membuatkan ramai hadirin turut menangis.
Akaun Fleksibel KWSP: Pengeluaran tahun pertama dianggarkan cecah RM25 bilion
Akaun 3 KWSP yang menjadi tumpuan ramai, dikenali sebagai Akaun Fleksibel dan merupakan pilihan bagi sejumlah 16.07 juta ahli.
Lelaki ragut wanita di Klang menangis dipenjara lima tahun, dua sebatan
Tertuduh, Muhammad Syafiei Hasan, 24, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim, Sharifah Hascindie Syed Omar.
UAE salur AS$544 juta baiki rumah penduduk yang rosak akibat hujan
UAE meluluskan pakej bernilai AS$544 juta untuk membantu membaiki kediaman penduduk yang terjejas semasa cuaca buruk baru-baru ini.
‘Silent Cinema’ - Pengalaman baharu tonton filem dengan gaya hip dan trendy
Jangan lupa untuk membawa fon kepala atau fon telinga anda untuk merasai sendiri pengalaman baharu ini.
AWANI Ringkas: Lelaki lepas tembakan di KLIA didakwa cuba bunuh isteri
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
Peniaga wanita ditahan jual beg tiruan dalam talian
Seorang peniaga wanita ditahan selepas dikesan menjalankan aktiviti menjual beg tiruan dalam talian menggunakan cap dagangan secara salah.
Fahmi kesal Universiti Malaya jemput penceramah cetus kontroversi berkaitan Palestin
Beliau kesal terhadap Universiti Malaya kerana menjemput seorang penceramah warga asing yang mengeluarkan kenyataan mencetuskan kontroversi berkaitan Palestin.
Nahas helikopter Lumut: Mendiang Joanna Felicia disemadi dengan istiadat ketenteraan
Keranda mendiang diturunkan sekitar jam 11.20 pagi selepas upacara keagamaan berakhir, diikuti kawad hormat bersenjata disempurnakan oleh 12 pegawai dan anggota TLDM yang berpangkalan di Kuching.
DNB umum ahli lembaga pengarah baharu merangkumi lima pengendali rangkaian mudah alih
DNB melantik ahli lembaga pengarah baharu, yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin kanan industri telekomunikasi dan teknologi.
Keadaan akan terkawal walau apa juga keputusan PRN Sabah - Jaujan Sambakong
Naib Presiden Warisan itu berkata proses mengundi dan selepas mengundi dalam keadaan terkawal dan harmoni.
Lucut jawatan pemimpin kampung yang salah guna kuasa
Pemimpin akar umbi yang dilantik perlu tahu peranan dan tanggungjawab terhadap kampung masing-masing.