Calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membuat ciapan perkataan ‘pengecut’ di Twitternya, hari ini.

Perkataan itu ditulis bagi menjawab soalan seorang individu yang mempersoalkan mengapa Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR tidak menyiasat apa sebenarnya fungsi Prey Anti Theft.

Individu itu turut mempersoalkan mengapa JPP terus mendengar dakwaan lawan Mohamed Azmin, Rafizi Ramli yang mengatakan 10 tablet e-undi yang digunakan dalam Pemilihan PKR, Cabang Julau, Sarawak dicerobohi perisian Prey Anti Theft.

“Spineless (pengecut),” balas Mohamed Azmin terhadap pertanyaan tersebut.


Perkataan itu mungkin diberikan kepada JPP di mana pengerusinya, Datuk Rashid Din mengumumkan sistem undian atas talian Pemilihan PKR digodam sehingga memaksa keputusan Cabang Julau di Serawak digantung buat sementara, semalam.

Rashid berkata, awalnya Unit Sistem dan IT JPP mengesan sistem e-undi di pusat pemilihan di Julau gagal berfungsi pada 2 petang.

Katanya, sewaktu pemeriksaan dilakukan, didapati 10 unit tablet e-undi yang digunakan pada waktu itu telah dicerobohi perisian Prey Anti Theft.

Rafizi pula menjelaskan, beliau hampir mendapat 3,000 undi sebelum serangan siber terbabit.

Rentetan dakwaan serangan itu, calon Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin memandang tuduhan yang dibuat oleh Rafizi berkaitan perkara itu adalah palsu.

Menurutnya, Prey merupakan satu aplikasi yang popular dalam peranti yang menggunakan sistem Android dan boleh dimuat turun sepertimana aplikasi lain di dalam telefon bimbit atau mana-mana peranti pintar mudah alih yang lain.

Aplikasi itu adalah untuk melindungi maklumat di dalam peranti mudah alih, untuk memastikan sekiranya peranti tersebut hilang atau dicuri, ia boleh dipantau oleh pemilik sebenar, sejurus selepas peranti tersebut berada dalam talian (online).