Pengganti Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Datuk Seri S.K. Devamany masing-masing bagi jawatan Timbalan Pengerusi UMNO Perak dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak akan dirujuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pengisian jawatan Ahmad Husni, yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak akan dibincangkan di peringkat parti sebelum dirujuk kepada Najib, selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN.

Sementara, jawatan Speaker DUN Perak akan dibincangkan oleh parti komponen BN bersama Najib sebelum dibentangkan kepada dewan, kata Zambry, yang juga Menteri Besar Perak.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Perak di kediamannya, di sini hari ini.

"Saya juga meminta semua pihak untuk menghormati keputusan Ahmad Husni meletak semua jawatannya dalam parti dan BN," katanya.

Pada pengumuman rombakan Kabinet, 27 Jun lepas, Najib mengumumkan peletakan jawatan Ahmad Husni sebagai Menteri Kewangan Kedua serta semua jawatan dalam parti.

Devamany, yang juga timbalan presiden MIC, melepaskan jawatan Speaker DUN yang disandang sejak 2013, susulan pelantikannya sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Ditanya mengenai permintaan Devamany bahawa jawatan Speaker DUN Perak dikekalkan kepada calon dari MIC, Zambry berkata ia berdasarkan kedudukan kuota dan persefahaman antara parti komponen BN.

Bagaimanapun, katanya, permintaan itu akan dipertimbangkan.

Sementara itu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke majlis rumah terbuka itu yang dihadiri oleh 10,000 orang.

Selain hidangan pelbagai juadah tradisonal seperti rendang, ketupat dan lemang, pengunjung turut dihiburkan oleh artis tempatan dan kanak-kanak diberi duit raya.

Turut berangkat Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.