UMNO Bahagian Pagoh hari ini mengambil pendirian untuk menolak keputusan Majlis Tertinggi parti yang menggantung jawatan Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat.

Setiausaha UMNO Bahagian Pagoh, Ashraf Mokhtar memaklumkan keputusan itu dicapai selepas bahagian tersebut bermesyuarat pagi tadi.

Mesyuarat khas berkenaan berlangsung di Kompleks Seri Perkembar, di sini dan dipengerusikan oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed.

BACA: Gantung jawatan: Saya akan terus bersuara - Muhyiddin

BACA: Tindakan ke atas Muhyiddin kerana gagal menjalankan tugas - Annuar Musa

VIDEO: Tan Sri Muhyiddin Yassin digantung jawatan Timbalan Presiden UMNO - Tengku Adnan


Ashraf memaklumkan keputusan oleh MT UMNO terhadap Muhyiddin dilihat tidak mengikut prosedur yang betul seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti.

"Tidak mengikut prosedur yang sepatutnya, mengikut saluran yang berperingkat seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti fasal 20 disiplin," kata Ashraf.


Tambahnya, UMNO bahagian tersebut juga berpendirian bahawa tindakan MT terhadap Muhyiddin juga sebagai mengkhianati ahli parti itu seluruh negara

"Tan Sri Muhyiddin telah dipilih oleh ahli parti seluruh negara maka, tindakan mt telah mengkhianati ahli umno," ujarnya lagi.

MT UMNO semalam sebulat suara bersetuju untuk menggantung jawatan Muhyiddin selaku timbalan presiden sehingga pemilihan parti akan datang.

Penggantungan itu hanya melibatkan jawatan timbalan presiden dan Muhyiddin masih boleh meneruskan tugas sebagai Ketua UMNO Bahagian Pagoh seperti biasa.